Tindakannya itu dikecam netizan laman sosial kerana menyangka beliau mengadakan perarakan Piala Malaysia tanpa persiapan rapi dan para pemain, malah tidak ramai penyokong yang meraikan perarakan tersebut.

Namun dalam rakaman video di laman sosial, Hasnul Zulkarnain menjelaskan program tersebut bukan perarakan piala tetap promosi Karnival Sinar Harapan Inspirasiku yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Parit Buntar.

Beliau berkata, perarakan khas trofi tersebut untuk meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia bersama rakyat akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya bersama penganjur berada di atas bas untuk mempromosikan Karnival Sinar Harapan Inspirasiku yang akan diadakan di Parit Buntar pada Sabtu dan Ahad ini, bukannya perarakan piala.

“Saya memohon maaf di atas kelemahan dan kekhilafan saya. Pafa sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengadakan 'road tour' perarakan piala ini bersama-sama para pemain,” katanya.

Menurut Hasnul Zulkarnain, beliau masih menunggu kepulangan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang sedang bercuti untuk bincangkan tarikh bagi mengadakan 'road tour' piala tersebut.

“Selepas itu kita akan meraikan kemenangan ini bersama-sama rakyat,” katanya.

Ia merupakan kontroversi terbaru yang dialami Hasnul Zulkarnain selepas beliau dikecam kerana perbuatannya bergambar dengan Piala Malaysia dalam keadaan dikatakan tidak sepatutnya yang tersebar dan menjadi viral di media sosial.

Beliau kemudiannya memohon maaf kerana perbuatannya itu dengan menegaskan tidak berniat untuk menjatuhkan martabat dan keunggulan trofi bola sepak kebanggaan negara itu.

Sementara itu, para penyokong Perak berpeluang untuk melihat dan bergambar dengan Piala Malaysia di tapak Karnival Sinar Harapan di Pinggiran Sungai Kerian, Parit Buntar pada Sabtu dan Ahad ini.