Menurut bintang Mesir itu, tanpa cuba bersikap angkuh, dia tidak terkejut, malah sudah menjangkakan prestasi hebatnya bersama Reds.

Menyertai Liverpool dengan rekod perpindahan 36.9 juta pound (RM203.84 juta) dari Roma, Jun lalu, pemain berusia 25 tahun itu telah meledak 28 gol dalam semua pertandingan.

Salah muncul pemain Liverpool paling pantas dalam sejarah meledak gol ke-20 pada musim pertama ketika membantu pasukan itu seri 2-2 dengan Tottenham, Isnin lalu.

“Saya tidak mahu kelihatan seperti angkuh tetapi ya, saya memang menjangkakan (menjaringkan banyak gol). Sewaktu di Rom, saya selesa di sana. Saya mengharungi dua musim yang baik, saya gembira.

“Saya sentiasa cuba mencari peluang lain, saya sentiasa meletakkan diri saya di bawah tekanan.

“Saya tidak bermain untuk Chelsea ketika saya berada di sini, tiga tahun lalu. Saya datang semula untuk menunjukkan kemampuan saya dan saya rasa saya telah beriak dengan baik,” katanya kepada FourFourTwo.

Kembali ke kancah bola sepak England, Salah kini gembira bermain untuk kelab kegemarannya sejak kecil dan dia mengi­damkan trofi bersama Liverpool.

“Sejak kecil lagi, saya peminat Liverpool, mereka adalah kelab Liga Perdana kegemaran saya. Saya sayangkan kelab ini sejak muda dan tahu, pasukan inilah yang saya mahu wakili.

“Saya tahu tentang sejarah yang dimiliki kelab ini, sebaik sahaja saya mendapat peluang, saya perlu menjadikannya satu kenyataan.

“Kami mahu mendorong diri sendiri untuk memenangi sesuatu. Untuk kami, peminat dan juga kelab. Ia sentiasa menjadi sasaran utama kami iaitu sebuah trofi,” tambah Salah. – AGENSI