Ketua jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillian berkata, mencipta kemenangan dengan sasaran tiga mata itu penting untuk meletakkan pasukannya di landasan yang tepat untuk mengharungi saingan Liga Premier sepanjang musim ini.

Katanya, kejayaan itu juga pastinya akan mencetuskan semangat buat semua pemain termasuk penyokong setia Ngap Sayot.

"Saya mahu anak-anak buah saya bekerja keras di atas padang esok bagi memastikan tiga mata berharga tidak tercicir kepada pasukan lawan.

"Saya cukup yakin gandingan pemain baharu dan muka lama akan mempamerkan aksi terbaik, sekali gus mengutip tiga mata penuh nanti," ujar jurulatih kelahiran Australia itu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gillian turut mengingatkan anak buahnya agar sentiasa berhati-hati meskipun bermain di halaman sendiri kerana menyedari pemain yang membarisi Kuantan FA mempunyai kualiti.

Katanya, beliau mahu anak-anak didiknya tampil bermain dengan lebih garang dengan memberi tekanan kepada pasukan lawan, selain mengikut strategi yang ditetapkan.

Tambahnya lagi, para pemain tidak boleh terlalu menghormati pasukan berstatus kelab itu kerana perasaan tersebut boleh mengakibatkan mereka hilang fokus lalu gagal beraksi dengan baik.

"Misi utama pemain ialah mencipta gol pertama kerana ia bakal menjadi penyuntik semangat kepada mereka untuk meraih kemenangan. Tidak boleh tidak, pemain mesti memburu kemenangan sulung kerana kita tidak rela kempunan mengutip tiga mata penuh di laman sendiri," ujarnya. - UTUSAN ONLINE