Tandukan penyerang Argentina, Sergio Aguero pada waktu kecederaan memastikan City menang 2-1 di Etihad selepas Bobby Reid terdahulu membuka jaringan pasukan pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-44 tetapi Kevin de Bruyne menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-55.

Kekalahan tipis kepada pendahulu Liga Perdana memberi keyakinan untuk kelab divisyen dua, Bristol merubah nasib mereka apabila menerima kunjungan City dalam separuh akhir kedua pada 24 Januari ini.

“Pep Guardiola berkata kepada saya bahawa kami bermain lebih bagus daripada pasukan Liga Perdana lain yang hadir ke Stadium Etihad.

“Saya yakin, permainan yang lebih menarik akan disajikan di Ashton Gate (separuh akhir kedua) nanti.

“Gol di tempat lawan sangat penting bagi kami dan jelas kami tidak ‘meletakkan bas’.

“Pemain muda saya perlu berehat agar dapat meneruskan aksi sebegini lagi,” kata jurulatih Bristol, Lee Johnson kepada Sky Sports.

Guardiola menghamburkan pujian susulan semangat juang yang dipamerkan Bristol, dengan Johnson memberitahu, pengendali kelahiran Sepanyol itu memberi kredit penuh kepada kelab ‘underdog’ tersebut. – REUTERS