Bekas juara sebelum ini iaitu Jerman, Sepanyol dan Argentina sudah pun tersingkir awal, meninggalkan Brazil satu-satunya pasukan yang berpengalaman dan mempunyai reputasi tinggi sebagai pilihan utama.

Walaupun akan menentang Belgium pada Jumaat ini (awal pagi Sabtu waktu Malaysia, skuad bimbingan Tite adalah pasukan yang dilihat telah mempamerkan persembahan paling meyakinkan setakat ini.

Kemenangan selesa 2-0 ke atas Mexico dalam pusingan kedua adalah antara bukti mengapa The Selecao perlu diberikan perhatian oleh pencabar lain selepas ini walaupun Belgium juga bukan calang-calang pasukan.

Dengan kata lain, pertemuan Brazil-Belgium dianggap pertembungan sengit antara pasukan yang memiliki penyerang hebat dengan pasukan yang memiliki benteng pertahanan yang ampuh dalam Piala Dunia kali ini.

Sudah pasti Brazil yang sedang memburu untuk menjulang Piala Dunia buat kali keenam memiliki sedikit kelebihan, terutama bukan sahaja kerana faktor Neymar tetapi juga disiplin tinggi yang telah dibina berteraskan asas yang kukuh oleh Tite.

Setakat ini, Brazil hanya melepaskan satu gol dalam empat perlawanan mereka di Rusia, itu pun ketika seri 1-1 dengan Switzerland di peringkat kumpulan. Selebihnya mereka menang selesa 2-0 ke atas Costa Rica, Serbia dan Mexico.

Dengan rekod sedemikian, hanya Itali boleh dianggap setanding dengan Brazil tetapi malangnya Itali langsung tidak tersenarai sebagai pasukan yang bertanding di Rusia kali ini.

Berdasarkan sejarah lalu, pasukan yang memiliki pertahanan yang mantap biasanya akan muncul juara tetapi Brazil sebenarnya lebih menonjol sebagai pasukan yang memiliki jentera serangan mantap dan memiliki skil individu yang tinggi.

Perlu diingat, benteng pertahanan Brazil belum benar-benar diuji setakat ini kerana sering ditampung oleh bahagian tengah dan serangan yang berjaya menutup kelemahan, jika ada sekali pun.

Jika Belgium berjaya membaca kelemahan sistem 4-4-2 yang diamalkan Tite, Brazil sudah pasti akan berdepan masalah besar. – AFP