PUTRAJAYA 17 April - Seorang bookie yang direman berhubung kes rasuah mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana 2017 membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan individu berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM60,000 berserta dua penjamin.
Lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan setelah direman selama 11 hari sejak 7 April lalu.
Siasatan awal SPRM mengesyaki lelaki itu menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab MISC-MIFA untuk mengatur keputusan perlawanan. - UTUSAN ONLINE