Shaqiri berpindah ke Switzerland pada tahun 1992 bersama tiga adik-beradiknya yang mempunyai pelbagai kewarganegaraan, termasuk Kasovo dan Albania.

Keinginan untuk keluar daripada kemiskinan menyaksikan Isen mendaftar ketiga-tiga anaknya di akademi SV Augst pada 1999 yang menyaksikan Shaqiri muncul pemain terbaik dalam pasukannya, sekali gus mendapat perhatian FC Basel.

Penyertaannya bersama FC Basel menjadi titik permulaan karier profesional Shaqiri apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Super Swiss tiga kali.

Kecemerlangan Shaqiri telah menarik minat Bayern Munich menggunakan khidmatnya selama tiga tahun sebelum dia berhijrah ke Inter Milan.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu hanya mampu bertahan selama tujuh bulan bersama kelab Serie A tersebut kerana membuat keputusan beraksi dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Stoke City.

Kejayaan dalam bola sepak telah membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan, dan bapanya kini tidak perlu lagi bekerja sebagai peladang, manakala ibunya juga berhenti bekerja sebagai tukang cuci.

Mereka kini hanya menghabiskan masa dengan menonton aksi anaknya di padang, dan Isen juga turut menguruskan pelaburan dan hartanah Shaqiri.

Ketika kecil, Shaqiri merupakan seorang anak yang rajin apabila setiap kali pulang dari sekolah, dia akan menolong bapanya di ladang, selain turut menolong ibunya.

Selain daripada kecemerlangan di padang, dia juga pernah dihimpit khabar angin sudah memiliki isteri apabila dilihat bersama seorang wanita yang merupakan model bernama Angelica di sebuah restoran di Stoke, namun dia menafikan dakwaan tersebut.

Shaqiri yang diberi gelaran ‘Si Magis Kerdil’ juga dibandingkan dengan pemain terbaik dunia empat kali, Lionel Messi.

Popularitinya juga membolehkan dia menjadi model minuman terkenal Coca-Cola.

Dalam Piala Dunia 2018, Shaqiri membawa pasukannya ke peringkat 16 terbaik sebelum tewas kepada Sweden.

Dia juga mencetus kontroversi ketika menentang Serbia apabila meraikan jaringannya dengan gaya helang (lambang bendera Albania).