Perkara tersebut dinyatakan semasa wakil syarikat berkenaan bertemu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pelangi, di sini semalam.


Perkembangan itu diumumkan kelab JDT menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, Johor Southern Tigers (JST) termasuk memuat naik beberapa foto pertemuan tersebut.


Menurut status terbaharu berkenaan, keinginan syarikat global dan antarabangsa itu bekerjasama merupakan satu lagi pengiktirafan tertinggi buat JDT.


“Ini telah meletakkan kelab ini berada di kelasnya tersendiri apabila berjaya menarik minat penaja-penaja luar untuk memberi penajaan kepada JDT. 


“Ini menunjukkan Kelab Bolasepak JDT merupakan satu-satunya pasukan dalam negara yang mendapat banyak perhatian jenama antarabangsa,” demikian dipetik daripada FB tersebut.


Selain Hublot, wakil kerajaan Turki diketuai Dutanya, Basak Turkoglu turut bertemu Tunku Ismail di istana berkenaan semalam menyatakan minat yang sama termasuk melabur di Johor.


Sehari sebelum itu menerusi Facebook yang sama, Presiden Santos FC, Modesto Roma Junior menyatakan keinginan untuk bekerjasama dengan JDT dan menghantar jemputan kepada Tunku Ismail yang merupakan pemilik JDT melawat kelab tersebut di Sao Paolo, Brazil.


Sebelum ini, JDT sudah mengadakan kerjasama dengan kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund dan kelab La Liga Sepanyol, Valencia CF.- UTUSAN ONLINE