Ahmad Irfan berkata, selepas menamatkan perlumbaan tersebut, guru pasukan bola sepak di sekolahnya memintanya agar tidak berpindah ke sekolah lain dan menyertai latihan pasukan apabila sudah berusia sembilan tahun.

“Itu permulaan bagaimana saya menyertai bola sepak. Sementara nak tunggu saya mencapai usia sembilan tahun, saya kerap berlatih bersama abang kerana waktu itu dia juga seorang pemain bola sepak di sekolah kami.

“Saya bermula di bahagian tengah dan sehingga kini saya kekal dengan posisi tersebut. Cita-cita saya memang mahu menjadi pemain bola sepak dan buat masa sekarang saya sudah nampak laluan saya untuk ke arah tersebut.

“Dalam keluarga, saya seorang yang menjadikan bola sepak sebagai karier dan diharapkan suatu hari nanti saya dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan juga negeri kelahiran saya, Kedah yang menjadi sasaran jangka masa panjang,” kata Irfan yang mendapat panggilan menyertai latihan skuad Bawah 19 (B-19) negara di bawah kendalian Bojan Hodak.

Irfan yang sedang menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberitahu, untuk permulaan membina kariernya sebagai pemain profesional, dia perlu menambat hati Hodak bagi diserapkan ke dalam skuad yang bakal menyertai kejohanan Piala AFF dan kelayakan Piala AFC B-19 pada Julai dan September ini.

“Ini peluang saya, perlu buat sungguh-sungguh sebab ramai pesaing. Bukan mudah untuk saya mendapat tempat dalam pasukan, namun, itu tidak mematahkan semangat saya daripada cuba mewakili Malaysia,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains sukan.

Irfan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berkata, dia terkilan apabila tidak dapat membantu Kedah dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang sekadar memenangi pingat perak setelah tumpas 1-2 kepada Perak dalam perlawanan akhir.

“Memang ralat tidak dapat menyertai pasukan, tambahan pula waktu itu hampir dengan SPM. Saya harap selepas ini dapat sertai temasya itu bagi dua edisi lagi terutamanya pada 2020 di Johor,” ujarnya.