Solo mendakwa bekas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu telah meramas punggungnya sewaktu majlis anugerah Ballon d’Or 2013 di Zurich.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu turut memberitahu, Blatter, 81, melakukan perkara itu ketika dia sedang memberi anugerah kepada rakan sepasukannya, Abby Wambach.

“Sepp Blatter telah me­ramas punggung saya beberapa tahun lalu sewaktu majlis Ballon d’Or ketika saya di atas pentas,” kata Solo ketika menceritakan pengalamannya dalam temuramah bertajuk ‘gangguan seksual dalam sukan’ bersama akhbar Portugal, Expresso yang disiar hari ini.

Solo yang membantu AS merangkul Piala Dunia 2015, selain dua pingat emas Sukan Olimpik pada 2008 dan 2012 berkata, gangguan seksual melibatkan bola sepak wanita adalah masalah yang biasa berlaku.

“Saya telah melihat semua ini sepanjang karier saya dan saya mahu lebih ramai atlet bercakap tentang pengalaman mereka,” katanya lagi.

Ketika ditanya me­ngapa dia tidak mendedahkan tentang insiden Blatter lebih awal, Solo berkata, biasanya dia lebih suka berdepan sendiri dengan orang yang terlibat apabila sesuatu kejadian berlaku.

Namun insiden Blatter berlaku hanya beberapa saat selepas dia naik ke pentas, dan dia tidak dapat berkonfrontasi secara terus dengan tokoh bola sepak dari Switzerland itu.

Dia juga tidak berpeluang berdepan dengannya sebaik sahaja mereka turun dari pentas. Sejak itu dia tidak pernah berjumpa Blatter.

Blatter adalah Presiden FIFA dari 1998 hingga 2015 dan digantung atas kesalahan rasuah.

Sementara itu, jurucakap Blatter menegaskan, tuduhan Solo adalah ‘mengarut dan melampau’. – AGENSI