Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu mempersiakan peluang mereka untuk berada dalam kedudukan selesa Kumpulan C selepas tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir mereka.

Kekalahan 0-2 di Red Star, semalam, memberi tamparan hebat buat Reds yang telahpun tewas kepada Napoli pada perlawanan sebelum ini.

Kini Liverpool bakal berdepan Paris Saint-Germain di ibu negara Perancis dan Napoli di laman sendiri dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, dengan peluang mereka mara ke peringkat 16 terbaik secara tiba-tiba terjejas.

Kekalahan di tangan juara Perancis, PSG bakal meletakkan nasib Liverpool `bagai telur di hujung tanduk’ sewaktu bertemu Napoli nanti dan pemain tengah Reds, Lallana sedar pasukannya tidak mempunyai alasan di atas kekalahan memalukan itu.

Lallana, yang masih gagal berada pada prestasi terbaiknya selepas ditimpa kecederaan panjang, sedar sudah tiba masanya dia dan rakan sepasukan berusaha untuk bangkit buat pasukan yang muncul naib juara Liga Juara-Juara, musim lepas.

“Sebagai pemain kami perlu memikul tanggungjawab ini dan memastikan ia tidak berlaku lagi. Nasib kami masih berada di tangan sendiri, jika kami menang dalam dua perlawanan akan datang, kami akan meneruskan kemaraan, tetapi kami sebenarnya telah mempersiakan peluang keemasan yang berada di tangan kami.

“Laluan kami begitu sukar. Ini Liga Juara-Juara, tiada pasukan yang menyertai pertandingan ini mahu memberikan kemenangan kepada anda.

“Kami perlu melupakan apa yang telah terjadi dan memperbaiki permainan jika berhajat untuk layak ke peringkat kalah mati,” kata Lallana kepada LFCTV. - AFP