Melihat perkara itu sebagai usaha menyingkirkannya, Presiden Kafa Bibi Ramjani Illias Khan berkata buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk Kafa akur pada desakan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah tersebut.

"Lebih penting kita berikan tumpuan kepada Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan pihak kami melunaskan tuntutan gaji bekas pemain dan jurulatih import sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan PBJ Tanah Merah mendesak Kafa mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk menukar pucuk pimpinan selepas mendakwa barisan pentadbiran ketika ini gagal mengendalikan tadbir urus persatuan itu dengan baik.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata desakan itu merupakan "perang saraf" pihak tertentu yang mahu menyingkirkan beliau dan bukan bertujuan memulihkan persatuan atau pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, beliau mahu semua yang terlibat dengan Kafa memberikan tumpuan kepada kempen Piala Malaysia ketika ini.

"Kita masih ada satu cabaran pada saingan Liga Malaysia musim ini, oleh itu apa-apa tindakan yang tidak memberikan sumbangan kepada kebaikan persatuan, saya kira ia adalah satu keputusan memburukkan lagi keadaan Kafa dan pasukan Kelantan," katanya. - BERNAMA