Juara 1966 itu diletakkan dalam Kumpulan G bersama Belgium, Tunisia dan Panama dalam satu majlis undian yang berlangsung di Rusia hari ini, sekali gus berjaya mengelak daripada berdepan dengan tiga pasukan gergasi dunia seperti Argentina, Brazil dan Jerman.

Skuad Three Lions itu akan bertemu Tunisa dalam aksi pembukan di Volgograd 18 Jun, dengan kali terakhir kedua-duanya bertemu di Piala Dunia 1998 Perancis, menyaksikan mereka meraih kemenangan 2-0 di Marseille.

Mereka kemudian berlepas ke Nizhni Novgorod untuk menentang Panama pada 24 Jun, sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang Belgium di Kaliningrad empat hari kemudian.

Dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua, Belgium dan England dianggap pilihan untuk mendominasi peringkat tersebut.

Southgate bagaimanapun tidak mahu memandang mudah dengan keupayaan pihak lawan dan tetap berwaspada dengan ancaman mereka.

“Memang jika di atas kertas kami antara yang terbaik. Apa pun kami ingin melakukan persiapan lebih rapi.

“Masih segar dalam ingatan saya sewaktu menentang Tunisia 19 tahun lalu, yang mana ia merupakan antara perlawanan yang cukup hebat dan menjadi kenangan manis untuk dikenang. Kami menang 2-0 setelah Alan Shearer dan Paul Scholes menjaringkan gol.

“Tidak banyak informasi yang saya dapat mengenai pasukan dari Afrika itu, cuma saya mahu lebih berhati-hati menentang mereka,” katanya yang pernah beraksi berdepan Tunisia ketika Piala Dunia 1998.

Mengulas lanjut, Southgate berkata, dia setakat ini menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum menetapkan objektif yang lebih tinggi.

“Bagi saya ia suasana yang amat sangat hebat untuk berada dalam satu majlis undian bersama jurulatih lain.

“Saya sangat teruja untuk menanti saingan sebenar yang akan bermula pertengahan tahun depan.

“Objektif kami adalah ingin meloloskan diri daripada peringkat kumpulan. Agak sukar untuk meramalkan peluang sebab ia bergantung kepada prestasi semasa pasukan di kejohanan itu nanti.

“Sejujurnya, beraksi di Piala Dunia adalah satu kebanggaan manakala mengetuai pasukan selaku pengurus pula adalah sesuatu yang sungguh istimewa,” jelasnya. – AFP