Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors KLIA Rozaki Abd. Kadir berkata, sudah tiba masanya KAFA memerlukan teraju baharu bagi memulihkan maruah pasukan selepas merakam kekalahan terburuk 2-5 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

“Sebagai peminat, kami sudah muak dan loya dengan kontroversi yang terlalu banyak membelenggu sehingga memberi imej buruk kepada badan induk itu.

“Sejak beliau memegang tampuk kepimpinan, KAFA dipalit dengan pelbagai masalah bermula dengan isu kegagalan membawa masuk tiga syarikat multinasional, ambil dan gugur pemain secara besar-besaran, isu jurulatih (Fajr Ibrahim) dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, kegagalan KAFA melunaskan tunggakan gaji bekas Pengarah Teknikal, Alfredo Gonzales memberi impak besar kepada pasukan apabila dipotong tiga mata, sekali gus terperosok ke tangga tercorot Liga Perdana.

Kata Rozaki, pemotongan mata itu memperlihatkan kegagalan KAFA menyelesaikan isu hutang tertunggak.

Katanya, pembatalan kerjasama antara MyInspiration Sdn. Bhd. dengan KAFA menerusi KRW Sdn. Bhd. juga membuatkan badan induk itu bertambah ‘lemas’.

Menurut Rozaki, pembatalan usahasama itu antara kerugian besar buat Kelantan kerana ia menjejaskan kantung pasukan.

Sementara itu, Timbalan PresidenThe Red Warriors City Club (TRWCC), Rumaizi Ismail mahu semua pihak, terutama barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) agar tidak berpeluk tubuh ketika pasukan berdepan masalah.

Katanya, Exco sepatutnya memainkan peranan dengan mencari jalan untuk membantu memulihkan semula pasukan.

“Sebagai penyokong kami amat berharap agar tiada campur tangan daripada individu yang tidak mempunyai hubung kait dengan KAFA.

“Ini kerana ia hanya akan memberi impak lebih buruk kepada pasukan dan perkara itu telah terbukti sekarang,” ujarnya.