Bagaimanapun, ‘Generasi Emas’ itu diingatkan bahawa perlawanan menentang pasukan pilihan mungkin peluang terakhir mereka untuk menyinar di peringkat dunia.

“Pertemuan ini merupakan perlawanan impian pemain kami. Kami tidak ada rahsia untuk menghadapi perlawanan ini. Kami perlu bertahan sebaik mungkin dan selepas itu, menghukum mereka apabila kami berpeluang menguasai bola.

“Ia semudah itu, dan pasukan ini bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut,” kata Martinez kepada media Belgium selepas melayakkan diri ke suku akhir dengan menewaskan Jepun 3-2 di peringkat fasa pertama kalah mati.

Di atas kertas, Belgium memiliki ramai pemain berbakat seperti bintang Chelsea, Eden Hazard, Kevin De Bruyne dari Manchester City dan penyerang Manchester United, Romelu Lukaku yang berpotensi besar untuk mencipta kejutan pada Piala Dunia.

Namun, meskipun mudah melepasi saingan peringkat kumpulan, skuad bimbingan Martinez yang bercita-cita besar berdepan satu misi sukar jika mara sehingga ke perlawanan akhir pada 15 Julai ini di Moscow.

Pasukan No. 3 dunia tersebut berjaya menjejakkan kaki ke suku akhir pada 2014 di Brazil, tetapi sebelum itu, kali terakhir Belgium melangkah sejauh ini ialah pada 1986 iaitu sewaktu Little Prince Frank Vercauteren mengetuai Belgium ke separuh akhir yang menyaksikan Diego Maradona menguburkan impian mereka menerusi kekalahan 0-2 di Mexico.

Sebelum pertandingan di Rusia, Vercauteren berkata, ini mungkin merupakan peluang terakhir pemain generasi ini memenuhi jangkaan, kerana pada 2022 ramai dalam kalangan mereka tidak akan berada pada kejohanan tersebut.

Menjadi pasukan pertama dalam tempoh 48 tahun yang berjaya bangkit daripada defisit 0-2 pada peringkat kalah mati Piala Dunia, Martinez berkata, kejayaan tersebut merupakan satu detik yang amat membanggakannya. “Ia merupakan ujian buat pasukan dan menguji perwatakan sebenar para pemain,” ujarnya.

Belgium perlu meningkatkan kualiti permainan mereka jika berhajat menyaingi Brazil yang semakin serasi dengan Neymar. Penyerang itu menunjukkan isyarat bahawa dia kini sudah mendapatkan prestasi sebenar­nya selepas pulih daripada kece­deraan.

Sewaktu menundukkan Me­xico 2-0, Neymar meledakkan gol pembukaan dan menjadi pe­rancang kepada Reberto Firmino menjaringkan gol sulung pada Piala Dunia. Selain Neymar, ancaman Willian turut meletakkan Brazil dalam satu lagi dimensi. – AFP