Dengan pemain berusia 19 tahun dari Perancis itu kini menjadi bintang utama dalam kumpulan pemain baharu Perancis, ini menunjukkan bahawa mereka memiliki kelebihan dari segi usia dan kekuatan untuk menguasai bola sepak antarabangsa pada tahun-tahun mendatang.

Secara purata empat pemain pertahanan perancis iaitu Benjamin Pavard, Raphael Varane, Samuel Umtiti dan Lucas Hernandez hanya berumur 23 tahun.

Ousmane Dembele, yang dibeli Barcelona pada harga 105 juta euro (RM497 juta), hanya bermain dua minit di peringkat kalah mati manakala penjaring gol Perancis lain semalam Antoine Griezmann, 27, dan Paul Pogba, 25, dalam lingkungan usia perdana.

Mbappe meledak gol keempatnya dalam kejohanan berprestij itu semalam sekali gus melengkapkan kemenangan 4-2 Perancis di pentas akhir Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow.

Jaringannya dalam perlawanan akhir itu menyaksikan sejarah baharu tercipta apabila muncul pemain termuda sejak Pele melakukannya pada 1958.

“Ada cerita yang boleh ditulis, namun ini hanyalah permulaan. Saya berhasrat untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dibandingkan dengan Pele di Rusia. Apabila dia menjaringkan dua gol ketika menentang Argentina dalam pusingan kedua, bermakna Mbappe menjadi pemain remaja kedua melakukannya dalam satu perlawanan Piala Dunia selepas Pele.

“Jika Kylian terus menyamai rekod saya seperti ini, saya mungkin perlu membuang habuk pada but saya,” ujar Pele menerusi Twitter.

Beraksi seawal usia 17 tahun sejak 1958, Pele menjulang dua lagi Piala Dunia bersama Brazil dan Mbappe berupaya mengikut jejak langkahnya. – AFP