Ronaldinho, 38 tahun yang te­lah bersara 16 Januari lalu berkata, bola sepak di Malaysia amat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada peminat yang cintakan sukan itu.

Jelas bekas penyerang Brazil itu, disebabkan kesibukan dan komitmennya dalam menguruskan akademi bola sepak melibatkan kanak-kanak, dia berdepan kesukaran untuk kembali bermain.

“Saya sentiasa cintakan bola sepak, malah, saya tidak bergurau apabila memberitahu ingin bermain di Malaysia kerana bola sepak di negara ini mempunyai sokongan yang amat bagus dalam kalangan peminat.

“Jika berpeluang sudah tentu saya memilih untuk bermain de­ngan kelab bola sepak di negara ini dan mungkin boleh beraksi secara percuma,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Jelajah Trofi Liga Juara-Juara UEFA di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut peminat bola sepak di negara ini boleh melihat secara dekat trofi Liga Juara-Juara, selain peluang bertemu Ronaldinho yang pernah memenangi gelaran di pentas Eropah itu bersama Barcelona pada 2006.

Ketika ditanya pula tentang peluang pasukan negaranya pada Piala Dunia yang bakal berlangsung di Rusia, musim panas ini, Ronaldinho melahirkan keyakinan terhadap skuad bimbingan Tite itu menjulang trofi berprestij tersebut, biarpun berdepan risiko kehilangan khidmat Neymar yang masih lagi dalam proses pemulihan ekoran kecederaan buku lali.

“Saya dapat melihat persediaan Brazil untuk menghadapi Piala Dunia amat baik, malah, kali ini mereka mempunyai barisan pemain yang amat bagus.

“Berhubung kecederaan Neymar saya sentiasa percaya pemain itu mampu untuk pulih dalam tempoh singkat, sekali gus boleh beraksi bersama Brazil di Rusia nanti,” kata Ronaldinho yang pernah merangkul Piala Dunia bersama Selecao pada 2002.