Berdasarkan tujuh perlawanan tersebut, hanya satu seri dicatatkan oleh Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong dan tahun hadapan selain melengkapkan aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon, Piala AFF merupakan kejohanan yang boleh dijadikan ukuran kepada Vingada.

Mungkin sudah tibanya kejohanan tersebut Vingada menggunakan sebahagian besar pemain muda dalam skuad Harimau Malaya dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh berdasarkan pencapaian semasa skuad B-19 dan B-23 negara, Malaysia perlu menghantar sebahagian besar pemain muda menyertai Piala AFF 2018.

“Kena hantar pemain B-23 sebab buat apa hantar pemain senior. Mereka (senior) tidak boleh berbuat apa-apa. Dua kali kita kalah 1-4 kepada Korea Utara.

“Kalau kita hantar sebahagian besar pemain B-23 dan kalah pun tidak mengapa kerana setidak-tidaknya mereka dapat pengalaman baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini prestasi skuad B-23 berada di tahap yang membanggakan apabila layak secara merit ke Piala AFC B-23 di China pada tahun depan selain muncul naib juara Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Berdasarkan tujuh perlawanan Malaysia di bawah kendalian Vingada, hanya satu aksi sahaja dia menurunkan ramai pemain muda iaitu ketika tumpas 1-4 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand pada 13 November lalu.