MOHD. RAZLAN
MOHD. RAZLAN

Perkara itu disuarakan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii yang menyifatkan program pembangunan sukan memerlukan masa panjang bagi mendapatkan hasil positif.

Katanya, kepemim­pinan baharu FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak seharus­nya dihukum dengan pelbagai tohmahan yang melampau selepas gagal memberi sebarang impak besar kepada skuad Harimau Malaya.

“Semua pihak harus memberikan masa kepada kepimpinan baharu FAM bagi merencanakan program-program baharu dan tidak adil untuk kita semua menghukum mereka.

“Dalam dunia sukan, setiap program yang dirangka memerlukan masa panjang bagi mendapatkan hasil cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan, Tunku Ismail mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekalahan memalukan 1-4 Malaysia kepada Korea Utara dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.

Katanya, satu mesyuarat bersama Pengarah Teknikal, Peter De Roo akan diadakan sebaik sahaja skuad kendalian Nelo Vingada pulang dari Thailand bagi mencari jalan untuk menambah baik Harimau Malaya.

Kekalahan di Stadium I-Mobile, Buriram itu menimbulkan kemarahan penyokong kerana Harimau Malaya gagal mencatat sebarang kemenangan selepas tamat lima perlawanan Kumpulan B.

Malaysia juga masih gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan sejak diambil alih oleh pengendali dari Portugal, Vingada, Mei lalu.