DALI OMAR

Katanya, kredibiliti yang dimiliki oleh pengendali berusia 49 tahun itu tidak perlu dipertikaikan lagi berikutan pelbagai kejayaan yang berjaya dilakar oleh Cheng Hoe antaranya menjulang Piala AFF pada 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2009.

Bagaimanapun, Dali mewakili Kelantan pada 1964 hingga 1972 sebelum berkelana selama 29 tahun di Australia berkata peluang dan masa perlu diberikan kepada Cheng Hoe memandangkan dia mengambil alih tugas tatkala skuad kebangsaan sedang bergelut dengan masalah prestasi.

“Saya sangat bersetuju dan menyambut baik tentang pelantikan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan. Saya fikir kita seharusnya memberi ruang dan peluang kepada anak tempatan untuk mengemudi Harimau Malaya.

“Tambahan pula, sudah tiba masanya untuk Malaysia berdiri sendiri dengan bakat anak tempatan. Saya fikir sama ada jurulatih dari luar atau dalam negara mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

FAM mengambil langkah segera dalam mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Vingada selepas meletakkan jawatannya kelmarin apabila mengumumkan pelantikan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya semalam.

Bagaimanapun, FAM tidak mengumumkan butiran lanjut sama ada pelantikan bekas penolong Vingada itu adalah sementara atau tetap. Kontrak dan syarat juga tidak dinyatakan.

Cheng Hoe, yang dihubungi semalam mengenai pelantikannya, berkata butiran kontraknya masih belum diperhalusi dan hanya akan mengetahuinya selepas bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tugas berat sedang menanti Cheng Hoe yang perlu memulihkan maruah Harimau Malaya setelah mereka tidak pernah meraih sebarang kemenangan sepanjang tahun ini selepas beraksi tujuh perlawanan di bawah Vingada.

Mereka juga tersingkir di peringkat kelayakan Piala Asia 2019 walaupun masih memiliki perlawanan dengan Lebanon.

Prestasi buruk itu menyaksikan Harimau Malaya kini berada di kedudukan ranking ke-174 dunia, yang merupakan kedudukan terendah pernah dihuni skuad negara.

Tan CHENG HOE menjadi jurulatih ketiga Harimau Malaya dalam tempoh
TAN CHENG HOE menjadi jurulatih ketiga Harimau Malaya dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, Dali menegaskan Cheng Hoe tidak sepatutnya diberikan tekanan kerana dia baru sahaja dilantik.

“Kita tidak boleh meletakkan sebarang tekanan dan bebanan terhadap Cheng Hoe. Kita perlu beri dia masa untuk memilih pemain muda yang lebih berkualiti. Saya percaya dia ada taktikal yang tersendiri.

“Pemain kena ikut cakap dia dan saya fikir Cheng Hoe perlu berani membuat eksperimen dengan mengambil pemain baharu. Tidak perlu rasanya untuk guna pemain yang sama lagi selepas ini,” katanya.