Yusri berkata, daripada lima import skuad The City Boys hanya Luke Woodland adalah pilihannya sedangkan empat lagi telah ditentukan pihak pengurusan.

Biarpun sedar kedudukannya boleh terancam kerana dilihat cuba menyalahkan orang lain, namun bekas pemain kebangsaan itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Meskipun ini bukan keputusan yang saya pinta tetapi sebagai manusia saya bersyukur dengan apa yang saya perolehi. Banyak kelemahan yang saya nampak, terutama penyudah pasukan.

"Tiga kali kalah berturut-turut. Perasaan yang cukup kecewa dan walaupun saya terima kekalahan ini tetapi jauh di sudut hati saya inginkan sokongan daripada pengurusan.

"Biar mereka lihat sendiri apa yang dilakukan oleh mereka terutama pengambilan pemain import. Jurulatih sepatutnya dibenarkan pilih pemain yang berlainan daripada yang difkirkan pihak pengurusan.

"Saya tidak takut untuk menyatakan kebenaran walaupun ia boleh menjejaskan kedudukan saya.

"Tetapi, inilah bola sepak, kita kena nyatakan kebenaran walaupun perit," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan Liga Super yang menyaksikan Kuala Lumpur tewas 0-1 kepada Terengganu hasil jaringan Igor Zonjic di Stadium Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN ONLINE