Valdano juga menyarankan pemain antarabangsa Brazil itu agar sentiasa menyimpan gambar Salah supaya dia boleh menitipkan nama pemain tersebut dalam setiap doanya sebelum menghadapi perlawanan di Kiev.

Real turun memburu kejuaraan hatrik dan gelaran Eropah ke-13, manakala Liverpool pula mencari trofi keenam dan yang pertama dalam tempoh 13 tahun.

“Anda patut beri gambar Salah kepada Marcelo supaya nama pemain itu sentiasa disebut dalam doanya. Dia juga kena meningkatkan permainan.

“Pertahanan Real Madrid perlu memberi lebih perhatian, terutama menentang Liverpool kerana mereka adalah pasukan yang mampu menghukum kesilapan lawan dengan cepat,” kata Valdano.

Pada ketika Reds berjaya mengetepikan kebanyakan pencabar mereka menerusi permainan yang meyakinkan, skuad Los Blancos pula dilihat lebih banyak bergantung kepada tuah untuk melayakkan diri ke final.

Marcelo, 29, yang beraksi di posisi bek kiri bakal menggalas tugas mengawal Salah, yang menunjukkan prestasi cemerlang pada musim pertama di Anfield dengan meledak 43 gol buat Reds (semua pertandingan) setakat ini.

Marcelo sering mendapat pujian sebagai antara bek kiri terbaik di dunia, namun dia cenderung meninggalkan posisinya setiap kali ghairah untuk membantu serangan.

Kata Valdano, dia tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu atau ia bakal mengundang bahaya kerana Salah adalah pemain yang bijak membaca ruang kosong. – AGENSI