Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Bensoh akan dibantu oleh bekas pengendali Felcra FC, Yusri Che Lah dan anak bekas pemain Kelantan, Nazarudin Mat Zin.

“Melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Bensoh sebelum ini, tidak salah kita memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan keupayaan.

“Kita mahu Bensoh membuktikan keupayaan dengan menghadiahkan sesuatu yang positif kepada TRW bagi musim 2018 nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan desas-desus bahawa seorang jurulatih dari Thailand bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zahasmi Ismail.

Bibi Ramjani memberitahu, Bensoh, 41, juga bersedia untuk melepaskan jawatan sekiranya gagal menghadiahkan keputusan positif dalam empat perlawanan awal Liga Super nanti.

Katanya, keberanian penolong jurulatih musim lalu itu untuk berundur jika gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) KAFA meyakinkan mereka untuk memberi peluang kepadanya membuktikan keupayaan.

“Saya akui agak kurang yakin dengan kemampuan Bensoh, namun dengan apa yang dijanjikan tidak salah kita beri dia peluang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bibi Ramjani berkata, Kelantan terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Tomas Trucha untuk saingan musim 2018 setelah dia menolak tawaran untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal TRW. - UTUSAN ONLINE