Bagaimanapun, pemain tinggi lampai yang mempunyai darah campuran Maghribi dan Algeria (ibu) itu memilih untuk menyarung jersi Atlas Lions sehingga membawanya kepada penampilan dalam Piala Dunia 2018.

Memulakan karier remajanya bersama Akademi Bola Sepak Clairefontaine pada awal 1990-an, Benatia dipindahkan ke Guingamp pada 2002, yang mana dia berjaya muncul pelajar terbaik.

Pada 2003, bakat besar yang dimiliki pemain berketinggian 1.88 meter ini membolehkannya terpilih menyertai akademi Olympique de Marseille, sebelum dia akhirnya menandatangani kontrak profesional pertama pada 2006.

Sejak itu, nama Benatia semakin meningkat dan dia dipilih beraksi buat beberapa gergasi Eropah seperti Juventus, Bayern Munich, AS Roma dan Udinese, malah pernah dipancing gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Arsenal.

Di atas padang, dia dikenali sebagai pertahanan yang garang kerana sukar tersenyum, selain cukup kental menjaga benteng pasukannya.

Begitupun, di sebalik wajahnya yang sentiasa serius, ramai yang tidak tahu bapa kepada dua anak ini mempunyai sisi berbeza sebagai lelaki biasa.

Benatia dan isterinya, Cecile sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan, malah tahun lalu dia menubuhkan Yayasan Medhi Benatia yang bertujuan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik mendapatkan bantuan kesihatan yang lebih baik.

Selain memberi bantuan kesihatan, yayasan tersebut juga membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia, terutama Maghribi dan Perancis mendapatkan pendidikan sempurna bagi membolehkan mereka mengejar impian.

Bapa kepada Lina dan Kays itu berkata, sebab utama dia menubuhkan yayasan berkenaan kerana dia tidak pernah berpeluang untuk membesar dengan sokongan perubatan yang sempurna ketika zaman kanak-kanak.

“Saya tertanya-tanya, bagaimana saya boleh membantu kanak-kanak miskin ini melalui hidup yang lebih baik.

“Saya sering terdorong untuk melakukan kerja-kerja amal dan membantu golongan kurang bernasib baik, jadi saya memikirkan tentang menubuhkan satu badan yang boleh menghulurkan bantuan. Sebab itulah saya wujudkan yayasan ini,” katanya.

Benatia yang kerap menjadi mangsa perkauman ketika beraksi di Itali, terkenal sebagai lelaki yang mementingkan keluarga.

Dia lebih berminat menghabiskan masa berkualiti bersama isteri serta anak-anak melancong ke seluruh dunia.