Malah kata pengendali dari Sepanyol itu, pencapaian pasukannya juga sebagai amaran dan gambaran kepada penampilan dan penguasaan bertenaga yang bakal ditunjukkan mereka untuk beberapa tahun akan datang.

“Kami telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi yang mana pemain memang layak menerimanya. Kami memang fokus untuk muncul juara terutama selepas menundukkan Brazil dalam suku akhir.

“Tetapi pada masa yang sama, kami juga perlu realistik (bahawa bola itu bulat) dan apabila mengimbas kembali sepanjang pertandingan ini, kumpulan pemain ini sendiri telah mencatat sejarah untuk Belgium. Pada saya itu sudah cukup,” tegas Martinez selepas pasukannya menewaskan England 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 di sini hari ini.

Apa yang penting tambahnya, pasukan ini sudah bergerak selangkah ke hadapan berbanding skuad Belgium sebelum ini termasuk pasukan yang menduduki tempat keempat dalam Piala Dunia 1986 di Mexico selepas kalah aksi playoff yang sama.

“Generasi 1986 itulah yang menjadi inspirasi kepada kejayaan hari ini. Kini kumpulan pemain yang ada sedar mereka sudah mencatat sejarah baharu selepas mengambil masa 32 tahun untuk mengatasi pencapaian lalu. Ini sudah pasti satu kepuasan,” tambah Martinez.

Secara taktikalnya, katanya, cara tersendiri Belgium bermain akan kekal diingati sebagai satu bentuk kesepaduan dan fleksibiliti yang cukup menonjol dan menjadi identiti pasukan itu pada masa akan datang.

“Ini satu perjalanan dalam bola sepak yang boleh dianggap berjaya. Namun dalam bola sepak, kita tidak boleh kekal begitu sebaliknya perlu terus memandang ke hadapan untuk meningkatkan lagi corak permainan ketika berdepan peluang yang lain pula,” ujarnya.

Sehubungan itu Martinez menegaskan, Belgium kini perlu bekerja ke arah penstrukturan pemain mudanya untuk membolehkan legasi ini berterusan.

“Jadi kami tidak akan ketandusan bakat dalam membentuk skuad kebangsaan yang mantap,” tegasnya. – REUTERS