Ketika ini, kedua-dua pemain tersebut sudah mengumpul empat gol hasil daripada dua perlawanan. Selain Lukaku, Eden Hazard turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.

Meskipun berjaya melakar kemenangan bergaya, malah mengungguli Kumpulan G, namun Belgium masih belum boleh menempah tiket ke pusingan kalah mati lebih awal kerana mereka perlu menunggu keputusan perlawanan antara England menentang Panama di Stadium Nizhny Novgorod esok.

Sekiranya Panama mencipta kejutan ke atas skuad Three Lions, nampaknya Belgium perlu mencatat sekurang-kurangnya seri menentang England dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Kaliningrad pada Jumaat ini.

Belgium yang dilabel sebagai generasi emas tidak berdepan masalah untuk mengatasi Tunisia apabila mereka berada di depan seawal minit keenam selepas pengadil perlawanan, Jair Marrufo menghadiahkan penalti gara-gara Syam Ben Youssef menjatuhkan Hazard dan penyerang Chelsea itu berjaya menyempurnakannya.

Belgium, skuad generasi emas mengukuhkan kedudukan mereka apabila Lukaku, yang juga bekas penyerang Everton, meledak gol kedua selepas menerima lorongan cantik daripada Dries Mertens 10 minit kemudian.

Tersentak dengan dua gol awal tersebut, Tunisia cuba bangkit apabila giliran mereka menembusi gawang lawan hasil tandukan Dylan Bronn selang dua minit kemudian selepas menerima hantaran lintang daripada Wahbi Khazri.

Gol kedua Lukaku berjaya dihasilkan pada waktu kecederaan babak pertama selepas dia bijak melepasi pertahanan lawan untuk berdepan situasi satu satu sebelum menewaskan penjaga gol Tunisia, Farouk Ben Mustapha.

Enam minit pada babak kedua, Hazard membuktikan Belgium bersedia untuk mencipta sejarah dalam Piala Dunia edisi kali ini apabila bijak melepasi pertahanan Tunisia untuk berdepan situasi satu satu sebelum menewaskan Farouk.

Penyerang Chelsea yang dipinjamkan kepada Borussia Dortmund, Michy Batshuayi meledak gol kelima pada minit ke-90 selepas menerima umpanan cantik daripada Youri Tielemans.

Walaupun ketinggalan, namun Tunisia tetap bernafsu memburu gol apabila Wahbi Khazri meledak gol kedua pasukannya pada waktu kecederaan selepas menerima hantaran daripada Hamdi Nagguez. – AGENSI