Bintang Bayern Munich itu meledakkan kedua-dua gol ketika Belanda menumpaskan Sweden 2-0, namun kemenangan itu tetap satu kegagalan kerana skuad Oran­je perlu mencatat kemenangan besar sekurang-kurangnya 7-0 ke atas skuad kendalian Janne Andersson.

“Ini masa yang terbaik untuk memberi laluan kepada generasi seterusnya. Malam yang penuh emosi. Saya tahu sebelum perlawanan ini adalah aksi terakhir saya dan pastinya bukan mudah.

“Saya juga mahu menikmati permainan ini namun saya perlu fokus kepada perlawanan kerana saya ingin mengucapkan selamat tinggal dalam keadaan terbaik. Saya gembira saya dapat memberikan aksi terbaik dan menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan menang. Itu sahaja yang kami mampu lakukan,” kata Robben.

Pemain berusia 33 tahun itu mengakui dia sudah pun menjangkakan Belanda tidak akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.

“Kami sudah tahu sebelum perlawanan bahawa mustahil untuk kami ke Piala Dunia. Jadi, kami menamatkan kempen ini dengan bermaruah dan kami berjaya melakukannya. Kami adalah pasukan yang lebih baik namun nasib tidak menyebelahi. Jika kami hanya perlu menang sahaja tidak mengapa namun keadaan sebaliknya,” katanya lagi.

Bintang Bayern Munich itu beraksi di pentas antarabangsa selama 14 tahun dengan penuh gemilang apabila berjaya meledak 37 gol dan mencipta gerakan gol 29 kali dalam 96 penampilan bersama Oranje.

Robben merupakan watak utama Belanda ketika mereka muncul naib juara Piala Dunia 2010 serta menang tempat ketiga di Brazil tiga tahun lalu. Bagaimanapun, kegagalannya menjaringkan gol meskipun dihidangkan peluang terbaik ketika tumpas 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010 pasti diingati.

“Perjalanan yang cukup panjang, 14 tahun. Pengalaman pertama saya adalah menentang Sweden pada 2004 dan saya mengambil penalti pertama pada tahun yang sama.

“Saya beraksi dalam enam kejohanan utama, tiga Euro dan tiga Piala Dunia dan Piala Dunia yang paling diingati pas­tinya pada 2010 dan 2014. Negara kami kecil namun mampu muncul naib juara dan menang tempat ketiga. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya. – AGENSI