Pengurus Belanda, Guus Hiddink seperti sudah menempah kekalahan kedua berturut-turut di tangan Kazakhstan, yang berada di ranking ke-127 dunia apabila pertahanannya, Rinat Abdulin meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-17.

Namun, Klaas Jan Huntelaar menyamakan kedudukan pada minit ke-62 diikuti Ibrahim Afellay, minit ke-82 dan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Robin van Persie, seminit sebelum permainan berakhir.

Kemenangan itu meletakkan Belanda di tempat ketiga Kumpulan A, tiga mata di belakang Republik Czech, yang meneruskan momentum mereka dengan kejayaan kedua mengalahkan Turki, 2-1 dan Iceland yang menumpaskan Latvia, 3-0.

Di Palermo, Chiellini menjaringkan ketiga-tiga gol termasuk satu gol sendiri untuk mengecewakan Azerbaijan, 2-1 dan sekali gus meletakkan Azzurri di tangga teratas Kumpulan H, hasil perbezaan jaringan dengan Croatia yang menang tipis 1-0 ke atas Bulgaria.

Chiellini membuka tirai jaringan seminit sebelum separuh masa pertama berakhir, namun dia menjadi punca kepada gol penyamaan Azerbaijan pada minit ke-77.

Namun daripada seorang petualang, dia menjadi wira Itali apabila lima minit kemudian, Chiellini memastikan tiga mata mutlak milik Azzurri dan dua jaringan yang dilakukan pada perlawanan berkenaan menyamai jumlah gol yang pernah dilakarnya sepanjang tujuh tahun kariernya.

Pertahanan Juventus itu juga menjadi pemain pertama menjaringkan gol dan jaringan sendiri dalam aksi kelayakan Euro semenjak Fernando Hierro berbuat demikian untuk Sepanyol pada tahun 1999.

"Satu kerugian besar buat pasukan jika kita tidak menang pada malam ini (semalam) dan saya rasa umum menghargai apa yang kami lakukan pada hari ini, malah kemenangan ini akan memudahkan laluan pasukan untuk ke pusingan seterusnya," kata Chiellini.

Bagi jurulatih Itali, Antonio Conte, para pemainnya telah memperagakan persembahan yang cemerlang cuma ketumpulan penyudah menghampakan mereka untuk mencatat kemenangan dengan lebih selesa.

"Para pemain secara keseluruhan memberikan aksi yang saya mahukan tetapi kita perlu lebih klinikal dan ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," kata Conte. - REUTERS

Norway menduduki tangga ketiga Kumpulan H dengan kejayaan mudah membenam Malta, 3-0 dan jaringan disumbangkan oleh dua pemain dari Liga Kejuaraan, Mats Moller Daehli yang beraksi bersama Cardiff dan Joshua King, bintang Blakcburn yang meledak dua jaringan.

Sementara itu, bintang Real Madrid, Gareth Bale tidak dapat membantu pasukannya, Wales meraih kemenangan apabila diikat seri tanpa jaringan oleh Bosnia-Herzegovina di Cardiff. - REUTERS