Bayern mencuri tumpuan dalam saingan Liga Jerman Rabu lalu dengan mendedahkan jurulatih berusia 42 tahun itu akan mengemudi pasukan pada musim 2013/14, seterusnya memadamkan segala spekulasi bekas jurulatih Barcelona itu akan ke Liga Perdana Inggeris.

Lima bulan sebelum Guardiola memasuki pejabat baru, media Jerman tidak henti-henti melaporkan berita sejak pengumuman tersebut di buat walaupun pengendali dari Sepanyol itu telah membuat keputusan untuk tinggal sementara di New York Manhattan.

"Oleh kerana ramai yang tidak sabar mengenai Guardiola, apa kata biarkan perkara ini berjalan dengan sendiri dan tumpukan perhatian kepada bola sepak," kata Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness selepas mereka mencatat kemenangan Sabtu lalu untuk mengekalkan kelab tersebut kekal di tangga teratas liga dengan kelebihan sembilan mata.

Bagaimanapun, Guardiola dijangka diberi harapan yang tinggi berikutan kejayaan yang diraih selama empat tahun bersama Barcelona, dengan menerapkan konsep permainan Tiki-Taka sebelum menjulang 14 trofi. Adakah ini akan berlaku di Munich?.

Selepas dikaitkan dengan perpindahan ke England Selasa lalu, Guardiola membuat keputusan untuk memilih Jerman dan penjelasannya adalah kerana mahu mencari pengalaman di Liga Jerman.

Purata 42,000 penyokong menyaksikan setiap perlawanan dan Liga Jerman menjual tiket paling murah dengan kehadiran penonton paling ramai di antara lima liga utama di Eropah.

Guardiola telah melakukan kerja rumah dan akan menyertai pasukan gergasi Eropah itu, walaupun Bayern menghadapi masalah kekangan kewangan dengan ramai pemain bintang berada dalam pasukan itu.

Pemain Jerman, Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Holger Badstuber dan Thomas Mueller semuanya adalah pemain asal kelab tersebut. Lapan pemain daripada pasukan tersebut sering membarisi pasukan kebangsaan. - AFP