Bayern menghuni kedudukan teratas Liga Jerman (Bundesliga) selepas seri 1-1 dengan Moenchengladbach semalam.

Walaupun berkongsi 64 mata dengan Schalke 04, yang menewaskan Hertha Berlin 1-0, Bayern menerajui takhta menerusi perbezaan gol.

Pasukan itu bakal mengharungi dua baki perlawanan yang dianggap mudah - bertemu pasukan bermasalah, Bochum di gelanggang sendiri, Sabtu ini, diikuti menentang kelab tercorot liga, Hertha Berlin pada 8 Mei.

Mereka juga masih berada di landasan untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah, dan akan berkunjung ke Lyon untuk melengkapkan pertemuan separuh akhir kedua selepas menang tipis 1-0 pada separuh akhir pertama.

Selain itu, Bayern bakal berdepan Werder Breman pada perlawanan akhir Piala Jerman, 15 Mei ini dalam sasaran melengkapkan tiga kejuaraan.

Di Gladbach semalam, penyerang Bayern, Miroslav Klose yang masuk sebagai pemain gantian menyelamatkan maruah pasukannya melalui jaringan penyamaan pada separuh masa kedua selepas Marco Reus memberikan gol pendahuluan tuan rumah menerusi rembatan cantik.

"Selagi kami mengekalkan fokus, kami akan memenangi kejuaraan liga. Tinggal lagi dua perlawanan dan kami masih berada di atas. Kami tahu Gladbach adalah sebuah lawan yang sukar jika beraksi di tempat sendiri.

"Kami tidak bijak, kami membenarkan mereka menguasai bola tetapi kami masih mempunyai banyak peluang.

"Adalah menjadi satu kerugian apabila kami ketinggalan, namun kadang-kadang kamu perlu berpuas hati dengan satu mata jika ia bermakna kami masih di tangga teratas,'' kata kapten Bayern, Mark van Bommel.

Pengarah Sukan Bayern, Christian Nerlinger bersetuju bahawa kejuaraan Munich berada di dalam tangan sendiri.

"Kami masih menjadi pasukan pendahulu liga dan mempunyai perlawanan dengan Bochum serta Hertha untuk diharungi. Ia masih berada di dalam tangan kami dan saya cukup gembira dengan keputusan ini.

"Pada mulanya, kami mempunyai beberapa peluang, namun Moenchengladbach terlebih dahulu mendapatkan jaringan. Bukan mudah untuk kembali bangkit jika melihat persembahan lawan, '' katanya.

Bagi pemain antarabangsa Belanda, Arjen Robben yang menjaringkan gol tunggal ketika berdepan Lyon, minggu lalu berkata, pasukannya perlu bermain seperti biasa pada baki dua perlawanan.

"Masih belum berlaku lagi apa-apa. Kami masih berada di tangga teratas dengan dua perlawanan lagi. Perkaranya cukup mudah, kami menang dua perlawanan lagi dan kami akan muncul sebagai juara,'' kata pemain sayap itu yang menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan musim ini. - AFP