Perez juga menyelar pihak-pihak yang menggambarkan pemain antarabangsa Portugal itu seolah-olah ‘memberontak’ ke­rana isu cukai dengan pihak berkuasa Sepanyol.

Pihak Pendakwa Raya di Madrid baru-baru ini memfailkan aduan kepada mahkamah di Pozuelo de Alarcon yang mendakwa pemilik empat trofi Ballon d’Or itu secara ‘sedar’ dan ‘sengaja’ gagal menjalankan tanggungjawab terhadap cukai hasil hak imej dari 2011 hingga 2014 bernilai 14.7 juta euro (RM70.24 juta).

Tidak lama selepas laporan tersebut dibuat, media melaporkan pemain berusia 32 tahun itu mahu meninggalkan Madrid musim depan kerana berang de­ngan isu cukai yang tidak berkesudahan, malah memba­yangkan untuk kembali ke pangkuan Manchester United.

“Saya belum bercakap dengan Cristiano mengenai perkara ini tetapi saya akan berbincang de­ngan dia dalam masa terdekat.

“Apa yang pasti, dia mempu­nyai klausa pelepasan 1 bilon euro. Kecuali ada orang sanggup membayar jumlah tersebut, maka dia akan kekal,” kata Perez kepada radio Onda Cero.

Perez juga menyifatkan semua laporan yang mengatakan segala rungutan datang daripada mulut Ronaldo adalah sesuatu yang meragukan.

“Sangat pelik. Saya mahu mempertahankan Cristiano sebagai pemain dan manusia biasa.

“Saya kenal Cristiano dan dia seorang lelaki yang baik, sama ada sebagai pemain profesional atau manusia biasa. Orang lain tidak boleh berkata sesuka hati dan menggambarkan dia seperti seorang pemberontak, itu mengganggu saya,” katanya lagi.

Perez bagaimanapun menambah, dia tidak begitu mengetahui mengenai situasi cukai yang dihadapi Ronaldo, namun me­negaskan, semua orang perlu menjalankan tanggungjawab untuk menjelaskan cukai.

“Namun begitu, saya tidak pernah meragui Cristiano. Saya dimaklumkan, dia menggunakan struktur korporat yang sama se­perti yang digunakan ketika di UK (United Kingdom) dan dia tidak mempunyai masalah di sana.

“Cristiano tidak marah di­arah membayar denda. Dia sentiasa menuruti undang-undang yang ditetapkan. Kami juga telah mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan sokongan kepada­nya tetapi hanya itu yang mampu dilakukan oleh Real Madrid ketika ini.

“Cristiano sendiri yang perlu me­menuhi tanggungjawabnya. Setiap yang berlaku pasti ada penyelesaian,” kata Perez lagi. – AGENSI