“Barcelona dan Liverpool mencapai persetujuan berhubung perpindahan Philippe Coutinho.

“Pemain itu akan menandatangani kontrak untuk baki musim ini dan lima tahun lagi dengan klausa pelepasan sebanyak 400 juta euro (RM1.92 bilion),” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Kontrak untuk pemain tengah berusia 25 tahun itu adalah yang ketiga termahal dalam bola sepak selepas Paris Saint-Germain (PSG) membayar 222 juta euro (RM1.06 bilion) kepada Barcelona untuk Neymar tahun lalu dan 180 juta euro (RM865.5 juta) yang akan dibayar PSG kepada Monaco untuk Kylian Mbappe sebaik sahaja tempoh pinjaman pemain Perancis itu ke kelab juara Ligue 1 itu berakhir.

“Dengan berat hati, kami sebagai sebuah pasukan dan kelab bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada seorang rakan baik, insan yang hebat dan pemain menakjubkan iaitu Philippe Coutinho.

“Bukan rahsia lagi apabila Philippe mahukan perpindahan ini sejak Julai lalu apabila Barcelona mula menunjukkan minat mereka.

“Philippe menegaskan kepada saya, pemilik dan juga rakan sepasukan bahawa inilah perpindahan yang mahu dilakukannya,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menerusi laman web rasmi kelab itu.

Coutinho, pemain kelahiran Rio de Janeiro tiba di Anfield dari Inter Milan dengan harga 8.5 juta pound (RM46 juta) dan menjaringkan 54 gol dalam semua kejohanan dalam tempoh itu meskipun tidak pernah menjulang sebarang gelaran.

Barcelona gagal dalam percubaan mendapatkannya pada musim panas lalu. Pemergiannya ketika ini satu tamparan buat Liverpool selepas perancang serangan itu kembali mempamerkan aksi hebat selepas mengalami kecederaan pada awal musim.

Dia menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir 2017 dan meletakkan pasukannya dalam kelompok kelayakan Liga Juara-juara.

Kejayaan mendapatkan Coutinho membolehkan Barcelona melupakan keperitan kehilangan rakan senegaranya Neymar musim panas lalu.

Dengan ketiadaan Coutinho, dua nama disebut-sebut untuk mengisi kekosongan posisi bintang Brazil itu iaitu pemain Monaco, Thomas Lemar dan Riyad Mahrez yang berperanan penting membantu Leicester City muncul juara Liga Perdana pada 2016. – AGENSI