Skuad kendalian Conte terlepas peluang menutup kempen Kumpulan C selaku juara apabila diikat 1-1 oleh Atletico Madrid di Stamford Bridge hari ini, dan kesempatan itu diambil sebaik mungkin oleh AS Roma untuk merampas takhta selepas menang tipis 1-0 ke atas Qarabag.

Menamatkan ca­baran selaku naib juara bermakna, Chelsea mungkin diundi menentang Barcelona yang diketuai Lionel Messi atau Neymar yang menerajui PSG.

Begitupun, mereka juga berpotensi bertemu kelab Turki, Besiktas pada pusingan awal peringkat kalah mati.

Blues tidak akan berdepan tiga kelab England, Manchester City, Manchester United dan Tottenham kerana ketiga-tiga pasukan itu berjaya menjuarai kumpulan masing-masing.

“Ini adalah pertandi­ngan yang hebat, kejohanan terbaik. Jika anda berjaya meneruskan kemaraan, jika an­da cuba menjadi protagonis dalam kejohanan maka anda kena bersedia berdepan pa­sukan-pasukan terbaik. Lawan kami juga tidak gembira jika bertemu kami,” kata Conte kepada BT Sport Football.

Perancang utama Blues, Hazard turut berkongsi pandangan sama, malah sedia menentang PSG atau Barcelona biarpun me­ngakui, kedua-dua pasukan adalah lawan yang kuat.

“Tiada masalah. Kami adalah Chelsea dan kami boleh menentang mana-mana pasukan.

“Kami tahu PSG dan Barcelona adalah pasukan yang sangat bagus tetapi kami perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kami boleh lakukan apa sahaja,” kata bintang tengah Belgium itu.

Dalam aksi di London, Chelsea memerlukan gol sendiri Stefan Savic pada minit ke-75 untuk mengikat Atletico yang terdahulu mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan menerusi tandukan Saul Niguez pada minit ke-56.

Keputusan itu menyebabkan mereka terikat 11 mata dengan Roma, namun terpaksa menghuni tangga kedua berdasarkan rekod pertemuan.

Undian Liga Juara-Juara dan Liga Europa akan diadakan di Nyon, Switzerland, Isnin ini. – AGENSI