Biarpun ‘drama’ pemilihan kali ini cukup mencuri tumpuan, namun pada akhirnya peminat bola sepak hanya berminat untuk melihat kemajuan yang dibawa oleh mereka yang dipilih.

Bekas Naib Pre­siden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berharap siapa sahaja yang akan memegang jawatan tersebut tidak hanya sekadar beretorik, sebaliknya benar-benar membawa perubahan untuk sukan bola sepak negara.

“Kemajuan bola sepak negara adalah perkara yang dinantikan kerana sukan itu ibarat ibu segala sukan dan ramai yang memberi tumpuan serta mendambakan kegemilangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Raja Ahmad juga tidak terkejut apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa diumum untuk bertanding dalam pemilihan 25 Mac itu kerana sudah menjangkakan pertembungan satu lawan satu bakal berlaku.

“Seperti yang saya jangka sebelum ini akan berlaku satu lawan satu dalam pe­rebutan jawatan Presiden FAM.

“Kedua-dua calon mempunyai keistimewaan cuma bagi saya kelebihan lebih dimiliki TMJ (Tunku Mahkota Johor) berdasarkan pertemuan 14 pewakilan yang me­nyatakan sokongan.

“Saya tidak nafikan kewibawaan Annuar yang telah mencipta impak besar bersama Kelantan namun TMJ juga telah membuktikan kemampuan de­ngan menerajui JDT mencipta nama memenangi Piala AFC serta menjadi satu-satunya pasukan meraih kejuaraan hatrik Liga Super.

“Dari segi pembangunan dan infrastruktur yang dibangunkan di JDT serta pembangunan akar umbi yang dilakukan TMJ me­nunjukkan beliau serius untuk membangunkan bola sepak Malaysia.

“Saya harap pemilihan akan berlangsung sihat. Adat jika ada yang kalah dan menang tetapi selagi belum tiba Kongers FAM pada 25 Mac...Saya dapat rasakan akan ada lagi kejutan,” katanya lagi.

Selain memberi tumpuan kepada pemilihan presiden, Raja Ahmad juga mahu pertandingan merebut jawatan lain turut diteliti oleh pewakilan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dipilih.

“Biarlah seseorang itu mampu menyokong dan membantu presiden, dengan itu pasti dapat membentuk pasukan yang baik dalam FAM,” tegasnya.