Penyerang Belgium itu diturunkan dalam kese­belasan Chelsea di Wembley, sebelum dikeluarkan pada minit ke-74 untuk diganti dengan Morata, yang baru dibeli pada harga 60 juta pound (RM335.36 juta) daripada Real Madrid.

Selepas permainan ter­ikat 1-1, saingan ditentukan menerusi penalti, yang mana sepakan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois melepasi palang, manakala tendangan Morata berjaya ditepis, sekali gus memboleh­kan Arsenal menang 4-1.

Ketika penentuan sepakan penalti sedang berlangsung, Batshuayi, yang tidak gembira kerana dibawa keluar mentertawakan Morata sejurus selepas penyerang Sepanyol itu gagal menyempurnakan tendangannya.

Rakaman televisyen me­nunjukkan Batshuayi ketawa di belakang Morata yang kelihatan amat tertekan, dan reaksinya mengundang kemarahan penyokong Blues yang rata-rata mengkritik penyerang tersebut dalam Twitter rasmi kelab.

“Harap (pengurus, Antonio) Conte dimaklumkan tentang perkara ini. Kita tidak perlukan pemain sebegini dalam Chelsea,” kata seorang peminat yang menggunakan akaun Projit Sen.

“Kami juga peminat anda tetapi kini tidak lagi. Anda ditangkap dalam kamera me­ngajuk rakan sepasukan. Selama ini saya fikir anda adalah Blues sejati,” tulis Amoz Moore.

“Batshuayi ketawa untuk alasan yang tidak diketahui dan ia perbuatan paling bodoh. Sangat teruk apabila anda melihat kegagalan orang lain sebagai sesuatu yang melucukan,” tulis Chenkovic.

Tiada sebarang kenya­taan dikeluarkan Batshuayi rentetan insiden tersebut, namun segelintir penyokong menganggap penyerang itu tergelak kerana pasukan­nya gagal menyempurnakan dua sepakan penalti.

Sementara itu, Conte mempertahankan keputusan memilih Courtois untuk mengambil sepakan penalti.

“Courtois antara pemain terbaik dalam mengambil sepakan penalti. Jika anda memiliki pemain yang menunjukkan keupayaan tersebut ketika latihan, maka dia adalah orang yang harus dipilih,” kata Conte.

Ketika ditanya mengenai Morata pula, jurulatih kelahiran Itali itu membalas: “Jangan lupa, Morata adalah penyerang dan dia pernah melakukan ba­nyak tendangan yang bagus. Dia masih memerlukan masa dan itu perkara biasa buat pemain baharu”. – AGENSI