Pada pertemuan itu juga, Diego Costa dibuang padang pada minit ke-28 di Camp Nou selepas menghina pengadil, Gil Manzano pada ketika Atletico beraksi dengan baik dalam tempoh 30 minit, sebelum Suarez dan Messi memanfaatkan kekurangan tersebut untuk menang 2-0.

Costa yang sememangnya terkenal dengan sikap panas baran bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Manzano, sehingga terpaksa ditenangkan pertahanan Barca, Gerard Pique selepas penye­rang itu diarah meninggalkan padang.

Kemenangan tersebut me­nyaksikan Barca hampir pasti mengucup trofi La Liga de­ngan permainan berbaki tujuh perlawanan, malah, menyuntik semangat untuk mereka berdepan Manchester United dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara, Rabu ini.

“Tiga mata penting berjaya diraih kami. Kami kian menghampiri (gelaran),” kata pengendali Barca, Ernesto Valverde.

Sementara itu, Suarez berkata, kemenangan tersebut sangat bermakna kerana membolehkan Barca berada di kedudukan terbaik untuk menjulang trofi, musim ini, lebih awal.

“Ia melebarkan lagi jurang mata. Kami bukan hanya membuat satu, tetapi dua langkah ke hadapan,” kata Suarez. – AFP