Dalam aksi persahabatan itu, Barcelona merekodkan kemenangan 5-0.

Pertembungan yang penuh emosi itu menyaksikan Chapecoense diketuai Alan Ruschel, salah seorang daripada tiga pemain yang terselamat beraksi dengan baik. Ruschel yang disertai dua lagi yang terselamat, Nieto dan Jakson Follman daripada pasukan yang ketika itu sedang dalam perjalanan menentang Atletico Nacional dalam final Copa Sundamericana sebelum pesawat yang dinaiki mereka terhempas di kawasan pergunungan Colombia pada November tahun lalu.

Kejadian itu mengorbankan sejumlah 71 nayawa.

Nieto dan Follman yang kaki kanan mereka terpaksa dipotong selepas kemalangan itu, menangis semasa aksi tersebut selepas mereka diberikan penghormatan untuk melakukan sepak mula dihadapan 65,000 penyokong di Nou Camp.

“Saya sangat gembira untuk kembali beraksi.

“Saya merupakan pemain yang paling gembira di dunia ini kerana berjaya melakukan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.

“Saya sangat bertuah kerana berada di Sepanyol beraksi menentang Barcelona, beraksi di stadium yang tidak pernah terfikir saya dapat beraksi,” kata Ruschel.

Barcelona menjemput Chapecoense bermain dalam perlawanan persahabatan tradisi yang dinamakan sempena nama pengasas kelab itu, 10 hari selepas insiden dengan menawarkan separuh daripada hasil perlawanan kepada kelab Brazil itu.

The Catalan akan mendermakan 250,000 euro (RM1.26 juta) bagi membantu pembangunan semula kelab berkenaan.

Gergasi Sepanyol itu mudah meraih kemenangan menerusi jaringan Gerard Deulofeu, Sergio Busquets, Lionel Messi, Luis Suarez dan Denis Suarez.

Pemain pasukan pelawat diberi penghormatan berasingan sebaik saja mereka keluar dari terowong pemain di Nou Camp, manakala sukarelawan mengangkat sepanduk berbentuk hati yang diwarnakan berdasarkan warna kelab Chapecoense, hijau dan putih.-AGENSI