Gergasi bola sepak Sepanyol itu menambah 18 juta pound (RM100.46 juta) daripada tawaran asal 100 juta pound (RM558.13 juta) yang diberikan kepada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut, sekali gus membayar RM658.59 juta keseluruhan.

Mereka menggunakan dana 200 juta pound (RM1.1 bilion) yang diperoleh hasil penjualan Neymar kepada Paris Saint-Germain (PSG) bagi mendapatkan perancang utama berusia 25 tahun tersebut, biarpun beberapa tawaran yang dikemukakan sebelum ini ditolak oleh Liverpool.

Menurut akhbar dalam talian, Mundo Deportivo, Coutinho bakal menjadi pemain Barcelona dalam tempoh 48 jam dari sekarang selepas kelab tersebut membayar yuran perpindahan yang bakal menjadikannya sebagai bintang EPL paling mahal pernah dijual.

Dakwa akhbar itu lagi, Coutinho juga sudah bersetuju untuk mengikat perjanjian lima tahun yang akan mengekalkannya di Camp Nou sehingga Jun, 2022 dan hanya menunggu masa untuk menjalani ujian kesihatan sebaik sahaja menerima ‘lampu hijau’ daripada Liverpool.

Biarpun pengurus Reds, Jurgen Klopp keberatan untuk melepaskan pemain tersebut, namun dia terpaksa menerima hakikat harga yang ditawarkan Barcelona sukar untuk ditolak oleh pengurusan kelab.

Barcelona juga semakin hampir untuk mengikat bek tengah Real Sociedad, Inigo Martinez, selain pemain sayap Borussia Dortmund, Ousmane Dembele bagi meneruskan perjuangan tanpa Neymar.

Semalam, Coutinho tidak diturunkan ketika Liverpool mengalahkan kelab Sepanyol, Athletic Bilbao 3-1 dalam aksi pemanas badan terakhir di Stadium Aviva, Dublin akibat kecederaan belakang.

Sejurus tamat perlawanan, Klopp ditanya tentang prospek kelab itu untuk membawa masuk muka baharu selepas usaha mendapatkan Naby Keita daripada RB Leipzig gagal.

“Sehingga 31 Ogos, kami akan melihat pasaran dunia dengan mata yang terbuka dan ia sangat jelas.

“Begitupun, keputusan bukan terletak di tangan kami semata-mata, ia juga bergantung kepada kelab lain,” ujarnya. – AGENSI