Messi terpaksa diketepikan selama tiga minggu kerana cedera di pangkal paha namun situasi tersebut tidak menjejaskan ren­tak Barca apabila mereka mem­belasah Sporting Gijon 5-0 dalam aksi La Liga pada Sabtu lalu.

Malah, Barca memulakan kempen mereka dalam kejohanan berprestij di Eropah itu dengan bergaya apabila membenam Celtic 7-0 untuk mengungguli anak tangga teratas kumpulan, berkongsi mata dengan Manchester City yang dibim­bing jurulatih baharu Pep Guardiola namun dipisahkan dengan perbezaan gol.

Kelab Catalan itu meledak 18 gol daripada empat perlawanan sejak tewas 2-1 kepada Alaves di laman sendiri pada 10 September, malah prestasi Neymar dan Luis Suarez sedang memuncak ketika ini.

“Saya memiliki pelbagai jenis pemain dan itu memberi saya banyak pilihan. Bergantung siapa lawan kami dan pemain mana yang boleh diturunkan, saya akan memilih pemain yang bersesuaian dengan situasi.

“Kehilangan Messi bermaksud hilang bola sepak. Kehadiran Messi menjadikan kami semakin kuat namun kami akan terus menjadi kuat,” kata Enrique.

Pengendali berusia 46 tahun itu turut merehatkan beberapa pemain termasuk Ivan Rakitic, Andres Iniesta, Jordi Alba dan Javier Mascherano.

Sementara itu, suasana beremosi menyelubungi penjaga gol Barca, Marc Andre ter Stegen apabila dia bakal beraksi de­ngan bekas majikannya selepas meninggalkan Gladbach dua tahun lalu untuk menyertai skuad Catalan.

“Saya mempunyai masa yang menakjubkan di sana dan bermain untuk kelab itu sepanjang karier saya namun tidak untuk dua tahun lalu. Borussia adalah cinta lama saya namun saya perlu beraksi bersama Barca 100 peratus di atas padang kerana mereka adalah kelab saya,” kata Ter Stegen.

Barca perlu fokus jika mereka mahu mendapatkan mata maksimum kerana kelab dari Jerman itu tidak pernah tewas dalam 11 perlawanan terakhir mereka pada semua kejohanan.

Kemenangan terakhir mereka adalah ketika menumpaskan Ingolstadt 2-0 dalam aksi Bundesliga, Sabtu lalu. – REUTERS