Dengan tinggal empat minggu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, berada di tempat teratas dalam senarai Barcelona adalah pemain Liverpool yang juga rakan senegara Neymar di Brazil iaitu Philippe Coutinho.

Ia dianggap pilihan terbaik yang Barcelona ada untuk menggandingkannya dengan Lionel Messi dan Luis Suarez di bahagian serangan. Sama usia dengan Neymar, Coutinho, 25, bukan asing buat Barcelona kerana pernah di­pinjamkan ke kelab gergasi Sepanyol itu pada 2012 dari Espanyol.

Selain itu, Coutinho juga pernah bergandingan dengan Suarez di Liverpool sebelum ini. Masalahnya sekarang adalah tentang harga yang akan diletakkan Liverpool untuk membenarkan Coutinho keluar dari kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Situasi sama berlaku ketika Barcelona mahu mendapatkan khidmat Suarez pada 2014 namun kali ini ia lebih sukar untuk melepaskan Coutinho memandangkan usaha Liverpool untuk mendapatkan khidmat Virgil van Dijk (Southampton)dan Naby Keita (RB Leipzig) masih belum berhasil.

Pilihan kedua yang ada adalah Paulo Dybala iaitu rakan senegara Messi di Argentina. Pemain tengah Juventus berusia 23 tahun itu merupakan penggerak yang memainkan peranan besar menewaskan Barcelona di suku akhir Liga Juara Juara Eropah musim lalu.

Jika Coutinho sudah serasi dengan Suarez, Dybala sudah tentu sempurna untuk Messi. Namun Dybala baharu sahaja memperbaharui kontrak selama lima tahun de­ngan Juventus April lalu tetapi jika Barcelona masih berminat, duit penjualan Neymar mampu memikat kelab Itali itu untuk melepaskannya.

Pilihan ketiga adalah Kylian Mbappe dari Monaco yang turut diburu musuh Barcelona, Real Madrid. Pemain berusia 18 tahun itu berjaya membantu Monaco mengetepikan cabaran PSG untuk muncul juara Liga 1 Pe­rancis selain mara ke separuh akhir Liga Juara Juara Eropah musim lalu. - AFP