Terima kasih harus diucapkan kepada pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele yang menjaringkan gol kemenangan begitu juga penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Sevilla.

Sevilla terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila membuka tirai jaringan menerusi percubaan Pablo Srabia selepas menerima hantaran daripada Luis Muriel.

Bagaimanapun, Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) terpaksa digunakan bagi menentukan jaringan tersebut buat kali pertama dalam bola sepak Sepanyol selepas pemain Sevilla dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Pertahanan Barca, Gerard Pique menyamakan kedudukan ketika babak pertama berbaki tiga minit selepas menyambar bola yang berpunca daripada sepakan bola mati Lionel Messi yang terkena benteng pertahanan Sevilla.

“Perlawanan ini amat sukar kerana kami dibolosi pada awal permainan dan kami terpaksa bangkit daripada ketinggalan. Ramai pemain yang baharu balik daripada bercuti dan nampaknya situasi tersebut memberi kesukaran.

“Kami memperbaiki corak permainan. Perlawanan ini menarik dan lawan juga mencipta peluang. Bagus untuk memenanginya kerana memberi anda keyakinan tentang apa yang anda lakukan dan ia membenarkan anda untuk memulakan musim ini dengan langkah kanan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde. - REUTERS