Annuar berkata, situasi tersebut jauh berbeza dengan The Red Warriors (TRW) yang selama ini mendapatkan tajaan mengikut peraturan dan didedahkan kepada umum.

Katanya, tindakan menyem­bunyikan sumber dana itu kebanyakannya melibatkan pasukan negeri, kelab dan milik individu yang tidak mengetahui siapa penyumbangnya.

“Itu biarlah ikut cara ma­sing-masing. Saya bangga dengan TRW sebagai pasukan negeri yang mempunyai cara tajaan yang ter­atur, berdokumen dan transparent.

“Walaupun saban tahun jersi TRW dipenuhi dengan pelbagai pelekat (tajaan) tapi sekurang-kurangnya kita telus dan tertib. Tiada apa yang tersembunyi.

“Saya harap TRW kekal sebagai pasukan milik ramai dan diuruskan secara berintegriti, beramanah dan tidak menjadi hak mana-mana individu walaupun sudah tidak menjadi presiden Kafa lagi,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Annuar menafikan dakwaan bahawa beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi untuk memastikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menaja TRW.

Annuar membuat penafian itu sebagai menjawab dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi lidah rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) JOHOR Southern Tiger (JST) mendakwa seorang Tan Sri yang tidak dinamakan telah memaksa Mara dan entitinya menaja TRW berjumlah RM700,000.

Tambah Annuar, tajaan UniKL yang merupakan salah satu anak syarikat Mara terhadap TRW musim lalu dibuat secara telus dan tertib serta mengikut peraturan.

Katanya, beliau amat berbangga kerana tajaan dijalankan mengikut peraturan.

“Tajaan dilakukan dengan begitu teratur, ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar-menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain lagi,” katanya.