Bagi Mat, dalam perlawanan akhir tersebut persembahan pengadil perlawanan lebih menjadi tumpuan malah sehingga hari ini isu melibatkan pegawai berkenaan terus menjadi bualan.

Mat Sport
 

Mat sendiri akui ada melihat beberapa keputusan pengadil yang tidak dianggap seimbang dalam perlawanan tersebut namun jangan kerana disebabkan nila setitik habis semua pengadil di Malaysia menjadi mangsa hingga merancang mahu mendapatkan khidmat pengadil luar negara terutama untuk perlawanan besar akan datang.

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan begitu juga pengadil perlawanan yang berdepan pelbagai tekanan dalam sesuatu perlawanan namun Mat percaya masih ada banyak lagi pengadil tempatan berkualiti serta mengimpikan untuk mengadili perlawanan besar seperti Piala Malaysia.

Peluang harus terus diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada pengadil tempatan dalam masa sama aspek teknikal seperti penggunaan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin wajar dipertimbangkan terutama dalam perlawanan besar.

Mat bimbang jika khidmat pengadil luar digunakan sewaktu perlawanan tumpuan tempatan, peluang pengadil warga Malaysia sendiri mendapat pendedahan sewaktu perlawanan besar dalam negara tertutup dan perlu di ingat bahawa medan tersebut adalah tempat mereka menimba pengalaman berprestij.

Menggunakan khidmat pengadil luar tidak akan menyelesaikan masalah kualiti pengadil tempatan sebaliknya fokus harus diberikan dalam memperkasakan golongan ini agar akhirnya mereka mampu menyumbang dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.