KHALID SAAD (kiri) dan Bakri Ibni bersalam sewaktu bekas pemain bola sepak kebangsaan itu berkunjung ke ibu pejabat Utusan Malaysia.

Tidak siapa dapat menafikan bahawa Perlis adalah diantara pasukan hebat yang pernah mewarnai kancah bola sepak negara satu ketika dahulu.

Siapa tidak kenal nama besar seperti Bakri Ibni, Saidin Osman, Ibrahim Saad, Manja Man, Adrien Jurad Chamrong atau Badrul Hisham Abdullah. Perlis pernah membawa pemain-pemain import yang hebat termasuk bintang Piala Dunia Cameroon, Emile Mbouh Mbouh serta le-genda bola sepak Thailand, Kia­tisuk Senamuang dan bintang berprofil tinggi dari Nigeria, Stephen Keshi.

Sekadar menyebut beberapa nama, mereka ini adalah antara pelopor dan penyumbang kehebatan Perlis pada era kegemilangan pasukan itu yang menjadikan Stadium Datuk Sheikh Ahmad, Kangar di Jalan Kolam sebagai kubu kuat mereka ketika itu.

Kebanyakan pasukan hebat se­perti Selangor, Kedah, Johor atau Kuala Lumpur akan berpu­tih mata jika terpaksa beraksi di stadium keramat itu. Samada pu­lang dengan keputusan seri atau kalah.

Perlis menjadi ‘kebal’ dise­bab­kan kehebatan pemain bahkan stadium ‘usang’ yang sering mengundang kepayahan kepada pemain pasukan pelawat. Tanpa lampu limpah (floodlight), setiap perlawanan berlangsung pada se­belah siang yang panas terik berbanding pasukan lainnya yang kebanyakan beraksi di bawah sinaran lampu limpah.

Namun sejak 1995, mereka memiliki stadium baharu, Stadium Tuanku Syed Putra, yang boleh menampung 20,000 penonton dengan perlawanan boleh dilangsungkan pada sebe­lah malam.

Itu sebahagian daripada cerita menarik tentang Perlis. Namun di sebalik usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu, ada cerita kurang sedap untuk didengar buat peminat pasukan dari Utara tanahair itu.

Kisah sekumpulan pemain yang mendakwa tidak menerima gaji sehingga terpaksa menjual burger atau ke laut mencari ikan tentunya menjejaskan usaha transformasi pengurusan baharu PFA.

Pasukan Singa Utara itu sudah tertidur lama. Ketika ini, mereka tidak berada dalam saingan utama Liga Super bahkan hanya diberi peluang berada dalam Liga Perdana (divisyen dua) daripada kedudukan sebenar dalam Liga FAM (divisyen tiga). Sebagai rekod, Perlis pernah memenangi Piala Malaysia pada 2004 dan 2006.

Menarik juga apabila melihat kepada kesungguhan PFA untuk mendapatkan khidmat bekas-bekas bintang yang pernah menyinar seperti Safee Sali atau Mohd. Badhri Mohd. Radzi (Piya) untuk memperkuatkan jentera pasukan itu.

Cuma satu sahaja nasihat kepada PFA, selesaikanlah isu gaji pemain supaya transformasi yang cuba dilakukan itu membawa ‘berkat’ kerana pemain juga mahu meneruskan kelangsungan hidup. Jangan sesekali ‘membunuh’ karier mereka atau abaikan soal kebajikan meskipun ‘dosa’ itu dilakukan oleh pengurusan terdahulu.

Tidak perlu menghukum pemain kerana pendedahan di media, mereka tiada pilihan bagi mendapat pembelaan sehingga terpaksa membuka pekung didada.
 Kepada para penyokong Perlis, jom ke stadium. Berikan sokongan anda agar dapat mendengar kembali ngauman Singa Utara.