Dua jaringan Milan Pavkov pada separuh masa pertama menenggelamkan kejayaan 4-0 Reds ke atas pasukan sama, dua minggu lalu, sekali gus menyukarkan misi mereka untuk menjuarai Kumpulan C.

Klopp menegaskan, pasukannya perlu bangkit dalam dua baki perlawanan atau berdepan penyingkiran awal daripada saingan kelab elit Eropah itu.

Liverpool akan menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Paris pada 29 November, sebelum menerima kunjungan Napoli di Anfield, 12 Disember.

“Mereka (Red Star) sangat agresif, dan pasukan kami pula seperti mengambil mudah pertemuan ini.

“Inilah masalah kami. Lawan berhak menang kerana mereka lebih bersemangat dan memberikan segala-galanya hari ini,” kata Klopp.

Klopp juga menggesa pasukannya agar tidak terlalu meratapi kekalahan itu kerana mereka mempunyai tugas besar untuk dihadapi iaitu menerima kunjungan Fulham pada saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Ahad ini.

“Perjalanan kami masih panjang. Fulham akan menanti Ahad ini dan kami perlu bangkit jika mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik.

“Mereka pasti menonton perlawanan hari ini dan nampak kelemahan kami, jadi kami tidak boleh mengulangi perkara yang sama,” ujarnya.

Jentera serangan Liverpool gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol dan Klopp menyifatkan Sadio Mane serta Mohamed Salah terlepas banyak peluang berharga.

Kelemahan pertahanan menjadi punca Pavkoc berjaya menjaringkan gol.

“Sudah pasti ada beberapa perkara tidak berjalan baik.

“Pemain ada peluang yang selalunya menghasilkan gol dan mereka (Red Star) pula bertahan baik di saat akhir,” katanya. – AGENSI