Skuad yang dikenali dengan panggilan The Kampung Boys itu memaksa The Bos Gaurus bermandi peluh sebelum Perak menang tipis dengan kelebihan satu gol.

Pengendali Jerantut, Ahmad Nazri Mohd. Noor berkata, pasukannya telah melakukan yang terbaik berdepan Perak namun rezeki tidak memihak kepada mereka.

"Walaupun kalah, namun saya tetap bangga kerana Perak hanya menang tipis 2-1 walaupun mereka melakukan serangan bertali arus sepanjang 90 minit permainan.

"Kami berjaya mendahului mereka pada separuh masa pertama dan Perak terpaksa menunggu sehingga minit ke-75 untuk menyamakan kedudukan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Menurut Ahmad Nazri, Perak mempunyai kelebihan apabila beraksi dengan empat pemain import dan beberapa pemain kebangsaan.

"Kelebihan ini memisahkan kami kerana anak-anak buah Mehmet Durakovic mempunyai banyak pengalaman apatah lagi mereka pernah beraksi di peringkat Asia," ujarnya.

Ahmad Nazri memberitahu, anak-anak buahnya mendapat ilmu berguna ketika menentang Perak dan ia mampu meningkatkan prestasi pemain pada masa depan.

Pada perlawanan malam semalam, Muhamad Firdaus Abdul Razak berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan menarik hasil sepakan percuma pada masa tambahan.

Wander Luiz muncul wira pelawat apabila meledakkan dua gol pada minit ke-75 dan 84 sekali gus membawa Perak ke saingan suku akhir Piala FA 2019.- UTUSAN ONLINE