Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan empat gol untuk skuad bimbingan Didier Deschamps di Rusia, dengan memenangi Piala Dunia untuk kali kedua selepas menumbangkan Croatia 4-2 di final.

Griezmann juga meniti prestasi baik sepanjang tahun di Atletico Madrid dengan memenangi Liga Europa dan menamatkan saingan di tempat kedua La Liga mengatasi seterunya Real Madrid.

Bagaimanapun Messi dan Ronaldo turut meniti musim terbaik. Pemenang musim lalu, Messi meraih dua gelaran domestik bersama Barcelona manakala Ronaldo pula berjaya mengalung medal johan Liga Juara-Juara untuk kali ketiga berturut-turut bersama Los Blancos, sebelum berhijrah ke Juventus pada musim panas ini.

Madrid juga mempunyai calon kuat untuk memenangi anugerah tersebut iaitu Luka Modric, yang sudah pun memenangi Bola Emas susulan pencapaiannya yang mengagumkan di Piala Dunia bersama Croatia, disusuli anugerah Pemain Terbaik Tahunan EUFA bulan lalu.

Walaupun ramai calon yang berpotensi besar untuk menang, Griezmann bagaimanapun menegaskan bahawa Ballon d’Or harus diberikan kepada pemain Perancis sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka terhadap negara.

“Kami semua adalah juara dunia, kami merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dunia.

“Dalam senarai pasukan terbaik dunia ini sudah pasti terdapat pemain terbaik dunia baetul? Walau apa pun itulah yang saya fikirkan di samping undian, pandangan dan pertimbangan.

“Bagaimanapun saya rasa pemain Perancis perlu memenanginya musim ini.- AGENSI