Pencabar mereka, Barcelona turut diheret dalam aksi mendebarkan dan memerlukan gol lewat minit Lionel Messi untuk mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Atletico Madrid.

Kemenangan di Villarreal memboleh­kan Real terus mengatasi Barcelona dengan kelebihan satu mata, namun memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

“Kami menunjukkan karakter untuk merubah keputusan. Dengan semua yang berlaku hari ini, apa yang pa­ling penting adalah meraih tiga mata,” kata pengurus Real, Zinedine Zidane.

Juara Eropah itu pada awalnya kelihatan bakal menerima kekalahan kedua berturut-turut selepas tuan rumah meledak dua gol pada awal babak kedua.

Gol pertama hadir menerusi voli Manu Trigueros pada minit ke-50, sebelum Cedric Bakambu menggandakan kedudukan 2-0, enam minit kemudian.

Bale memulakan kebangkitan Real apabila menyudahkan hantaran Dani Carvajal pada minit ke-64.

Ketika permainan tinggal 16 minit untuk tamat, Real hadir dihadiahkan penalti apabila bola yang melantun dari dada Bruno Soriano terkena lengannya.

Ronaldo yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti me­nyempurnakannya dengan baik untuk kedudukan terikat 2-2.

Tandukan Alvaro Morata, tujuh minit sebelum tamat permainan memastikan Real pulang bersama tiga mata.

Sementara itu, di Vicente Calderon, Messi memastikan Barca tidak pulang hampa selepas meledak gol kemena­ngan ketika permainan berbaki empat minit untuk ditamatkan.

Rafinha meletakkan Barca di depan pada minit ke-60, namun Atletico me­nyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi Diego Godin, sebelum Messi merembat gol kemena­ngan.

“Keadaan padang agak teruk dan kami gagal melakukan hantaran baik, namun kami bernasib baik berjaya mendapatkan dua gol,” kata pengurus Barcelona, Luis Enrique. – AFP