Bintang Wales itu pernah dikaitkan berpindah ke Old Traford sepanjang musim panas, dengan Jose Mourinho cuba memujuknya agar kembali ke England, tetapi dia menolak pelawaan pengurus warga Portugal tersebut.

Sebaliknya dia memilih untuk kekal di Real, dengan kelab gergasi Sepanyol itu berpeluang memburu gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, walaupun pemain tersebut merupakan pilihan kedua di belakang Cristiano Ronaldo.

Bale tidak seperti Neymar yang menyertai Paris Saint Germain (PSG) kerana mahu lari daripada bayangan Lionel Messi dan menjadi bintang utama di kelab lain. Pemain tersebut percaya, merangkul trofi lebih berbaloi berbanding menjadi tumpuan ramai.

“Mengenai perkara tersebut, ia masih boleh menjadi pertikaian. Tetapi saya fikir, perkara yang paling penting ialah apabila anda merenung kembali perjalanan karier anda, trofi yang akan anda lihat.

“Pada pengakhirannya, trofi yang menjadi perkara paling utama,” kata Bale kepada Daily Mail ketika ditanya sama ada berbaloi atau tidak menjadi bintang tanpa memenangi trofi yang banyak.

Ronaldo kini masih digantung perlawanan dalam aksi liga dan kelab itu kelihatan bergelut untuk memburu jaringan, dengan penyokong menggesa agar Bale diketepikan, tetapi katanya, dia tidak akan sesekali menghiraukan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya tidak begitu memandang berat mengenai perkara sedemikian. Segelintir orang mungkin ambil kisah, sesetengah orang pula tidak. Saya memang tidak begitu mempedulikan isu-isu seperti ini.

“Saya hanya mahu masuk ke dalam padang dan menikmati permainan bola sepak. Saya mahu bermain untuk diri sendiri, tetapi saya juga mahu cuba membantu pasukan dan memenangi trofi. Saya cuma cuba untuk berseronok. Itu yang paling penting,” ujarnya. –AGENSI