Bintang antarabangsa Wales itu menyempurnakan hantaran silang yang cantik untuk jaringan pertama daripada dua gol yang diledakkan Borja Mayoral menentang kelab divisyen tiga, Fuenlabrada yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Namun, skuad bimbingan Zinedine Zidane itu muncul selaku pemenang menerusi keputusan agregat 4-2 di Santiago Bernabeu.

Fuenlabrada yang tewas 0-2 dalam aksi timbal balik pertama, melakar kejutan awal apabila Luis Milla menyumbat gol pembukaan dalam babak pertama pada minit ke-25, tetapi Real bangkit apabila Mayoral meledakkan dua gol (minit ke-62 dan ke-70), sebaik Bale dibawa masuk.

Alvaro Portilla menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat (minit ke-89), namun, Real mara ke pusingan seterusnya di samping Celta Vigo, Levante dan Leganes, manakala kelab bermasalah La Liga, Malaga tersingkir selepas tewas menerusi keputusan agregat 3-2 kepada pasukan divisyen dua, Numancia. - AFP